Seorang ibu, seluruh kehidupan...

a

Ketika sedang bersiap-siap untuk menyambut kedatangan seorang sahabat lama di banglo mewah yang baru diduduki, tiba-tiba terdengar panggilan ibu kita dari kampung,

“Mid (bukan nama sebenar), bila engkau nak balik ni? Sejak raya dulu, rasanya dah empat bulan engkau tak balik. Malam ni mak ingat nak buat doa selamat sikit sebab adik kau, si Mimah tu baru dapat kerja. Baliklah ya!” Sayu suara orang tua itu mengharap.

Hmm... apa pertimbangan kita? Janji dengan kawan sudah dibuat. Kawan lama yang sangat akrab, dan baru dua hari pulang dari luar negara... Persiapan sedikit sebanyak sudah dimulakan, di rumah berharga RM500,000 pula!

“Baliklah ya!” terngiang-ngiang lagi suara serak ibu. Ah, bukannya dekat untuk balik ke kampung di Kluang, Johor. Perjalanan paling cepat menaiki Mercedez mata belalang itu pun hampir dua jam setengah. Memanglah esok hari tidak bekerja, tapi perjalanan yang jauh tetap akan memenatkan. Nak diluah mati emak, nak ditelan mati kawan... mungkin begitulah keadaan kita ketika itu.

Fikirkanlah sendiri jawapannya...

Tiba-tiba minggu ini manusia teringat akan ibunya, bersempena Hari Ibu pada 9 Mei 2010. Bukannya pada hari lain mereka tidak ingat, tetapi kesibukan membanting tulang saban waktu membuatkan kepala sesak dengan survival – perjuangan untuk hidup. Yang miskin sibuk mencari seringgit dua, yang kaya mencari sejuta dua.

Ada orang menganggap sambutan hari ibu itu tidak perlu. Alasannya, ibu ibarat nyawa bagi setiap insan. Tanpa ibu, tiadalah kita di dunia ini. Jadi, hari ibu adalah setiap hari, bukannya disambut pada hari-hari tertentu sahaja, apatah lagi cuma sehari dalam setahun. Ada juga yang mengatakan idea Hari Ibu dicetuskan di barat sebab orang-orang di sana terlampau ramai yang sesat barat. Mereka tidak menghormati ibu (dan bapa) lagi. Ibu diherdik, ditipu, ditinggalkan, dibiarkan hidup melarat malahan ada yang dibunuh!

Bukan maksud kita untuk membincangkan boleh atau tidaknya menyambut hari ibu itu di sini. Kalau kita melihat anak-anak di barat itu derhaka dan biadap terhadap ibu bapa mereka, cuba kita lihat pula anak-anak di Malaysia. Adakah anak-anak kita menghormati ibu bapa mereka selayaknya? Adakah ibu-ibu disayangi dan menjelang hari tuanya, dijaga dengan sempurna sebagaimana anak-anak itu dijaga sewaktu kecil mereka? Tidak pernahkah terjadi peristiwa ibu dimarah, ditengking, ditipu atau diabaikan? Tidak adakah ibu yang dihantar ke rumah orang-orang tua? Tidak adakah ibu yang dibunuh oleh anak kandungnya sendiri?

Memang, ibu adalah ratu hati. Lupakanlah hari ibu sebagai SATU HARI untuk mengingati orang yang melahirkan kita itu. Sebaliknya, bayangkan begini... bersempena hari istimewa yang disambut di seluruh dunia itu, ambillah kesempatan untuk menjadikan Hari Ibu antara hari paling istimewa buat ibu kita. Anggaplah ia satu hari PALING istimewa dalam setahun di samping 364 hari istimewa lain yang kasih sayang dan perhatian kita tidak pernah pudar walau sedetik pun. Cuma, dengan suasana sambutan yang dipromosi dan diuar-uarkan, lebih mudah untuk kita mendapatkan hadiah yang mengujakan buat ibu kita. Sudah pasti terdapat jualan istimewa sempena Hari Ibu atau tawaran makan malam menarik di hotel-hotel, misalnya.

Ertinya, kita mengambil yang positif daripada apa yang terjadi di sekeliling kita. Lagipun, apabila melihat ramai ibu diraikan, berbungalah juga hati ibu kita apabila mendapati dirinya tidak dilupakan.

Bagaimanapun, menyambut Hari Ibu itu bukanlah wajib. Sekalipun kita tidak dapat meraikannya pada hari tersebut, ada seribu satu cara dan masa lagi untuk kita pamerkan kasih sayang kita kepada ibu.

Bersempena dengan Hari Ibu, ramai anak yang mengambil cuti, membawa ibu berjalan-jalan, makan-makan, dan tidak kurang pula yang berkumpul sesama ahli keluarga sambil mengadakan doa selamat. Tidak kurang juga para bapa yang mengetuai anak-anaknya membuat kejutan kepada si ibu, menyediakan juadah, kemudian berdoa panjang untuk kesihatan dan kesejahteraan ibu anak-anaknya itu.

Buat anak-anak, renungilah pengorbanan ibu. Ibu telah melahirkan kita dan adik-beradik yang lain bukan sekali, bahkan ada yang sampai tiga belas kali! Bayangkanlah sekali sahaja kesakitan yang dialaminya ketika melahirkan kita itu. Darabkan kesakitan itu dengan dua, tiga, lima, sepuluh atau mengikut berapa ramai adik-beradik masing-masing.

Bayangkan pula kesusahan ibu membesarkan dan mendidik kita hingga kita menjadi ‘orang’. Bagaimana pula perasaan ibu apabila anak-anaknya yang diasuh dan dicurahkan sepenuh cinta tiba-tiba apabila besarnya tidak menjadi ‘orang’ bahkan berperangai ‘binatang’? Sampai saat tuanya, darah daging anak ini dicampakkan ke pusat-pusat jagaan tertentu. Ada ibu-ibu yang ditempatkan di sini dahulunya dijumpai berkeliaran seorang diri walaupun anak-anak kandungnya masih hidup. Aduh...

Setiap anak, khususnya yang sudah berkeluarga, mestilah menjadikan ibunya sebahagian daripada anggota keluarganya, walaupun si ibu tidak tinggal bersamanya. Apa sahaja yang mungkin berlaku kepada ibu, si anak mesti bersedia untuk menyesuaikan jadual kehidupannya untuk memenuhi tuntutan ibunya.

Bak cerita Mid di permulaan bicara tadi, apalah salahnya dia menelefon sahabat lamanya itu dan menyusun semula janji temu yang telah dibuat. Lagipun sahabatnya itu belum sampai lagi di rumahnya. Walaupun sudah beberapa tahun mereka tidak bersua, apalah salahnya menangguhkan sekadar sehari dua atau seminggu lagi?

Yang itu senario Mid. Mungkin bagi orang lain, lain pula kisahnya. Sudah tentu ada keadaan yang memang tidak memungkinkan anak-anak balik menjenguk ibu atau bapa di kampung. Kalau begitu situasinya, beralasanlah dengan cara paling baik dan berhemah. Beritahulah tarikh lain yang paling hampir untuk balik menjenguk mereka.

Percayalah, bagi ibu-ibu yang tinggal berjauhan seperti ini, sebenarnya hati kecil mereka sentiasa merindui kepulangan anak-anak. Cuma ia mungkin tidak dizahirkan. Sepatutnya zaman sekarang tiada masalah. Jadi, kerap-keraplah menjenguk ibu yang jauh itu. Kalau tidak mampu, buatkan giliran dengan semua adik-beradik supaya setiap hujung minggu sekurang-kurangnya ada seorang yang akan balik. Selain itu, selalulah menelefon ibu. Sediakan telefon tanpa wayar untuk kegunaan ibu yang sudah terlalu uzur. Bagi ibu-ibu yang lebih ‘up-to-date’, sidang video menerusi internet menjanjikan pengalaman yang menyeronokkan.

Ibu tidak mengharapkan balasan wang ringgit kita. Sebaliknya, kitalah yang mengharapkan doa restu daripadanya. Jadi, gembirakanlah ibu. Ingat, doa ibu adalah antara doa yang mudah dimakbulkan Allah. Berbakti kepada ibu, lebih-lebih lagi kala umur tuanya sangat dianjurkan oleh Islam. Ia mengundang rahmat dan keberkatan. Keberkatan hidup di dunia dan akhirat itulah yang kita dambakan.

Kadang-kadang puas kita berdoa agar dikurniakan kekayaan, tetapi hidup kita tetap sempit dari segi kewangan. Dalam masa yang sama, kita tidak sedar bahawa ibu kita selalu mendoakan kebaikan untuk kita. Rupa-rupanya Allah lebih mengabulkan doa ibu. Allah Maha Mengetahui, sekiranya kita kaya, kita akan lupa diri, tenggelam dalam maksiat, hidup jauh dari keberkatan. Tetapi dengan keadaan sedia ada, kita tetap berada dalam kebaikan.

Ingat, ibu kita hanya seorang, tetapi apa sahaja sikap dan tindakan kita terhadap insan yang seorang itu akan memberi kesan kepada seluruh kehidupan kita. Jangan sekali-kali derhaka kepada ibu bapa, lebih-lebih lagi ibu kita. Sekali kita derhaka kepadanya dan tidak memohon maaf, seluruh kehidupan kita tidak bahagia. Kalau kita mati sebelum ibu memaafkan kita, azab Tuhan pasti menanti dan boleh jadi ditunjukkan sebelum kita diusung ke liang lahad lagi.

Doakanlah ibu kita setiap kali selesai mengerjakan solat. Doakanlah untuknya iman, kesihatan dan kebahagiaan. Sedangkan untuk ibu bapa yang masih kafir pun anak-anak yang Muslim dianjurkan mendoakan hidayah dan kebaikan, apatah lagi untuk ibu bapa yang sememangnya Muslim. Untuk ibu-ibu yang telah pergi ke alam baqa pula, doakanlah keampunan, rahmat dan belas kasihan Allah buat mereka.

Rebutlah peluang untuk melayani ibu kita sebaik mungkin ketika umurnya masih ada. Biar kita menyesal dahulu kerana masih ada waktu lagi untuk kita berubah, jangan menyesal kemudian kerana menyesal kemudian tidak berguna.

Tiada ulasan: