Sejam 'Earth Hour' yang terang-benderang

a

Artikel ini ditulis dalam gelap, antara jam 8.30-9.30 malam, Sabtu 27 Mac 2010. Selama sejam, Malaysia menyahut seruan melaksanakan apa yang dinamakan 'Earth Hour', iaitu tidak memasang lampu atau menggunakan apa-apa peralatan elektrik. Tujuannya adalah untuk 'menyejukkan' sedikit planet bumi yang sedang kepanasan. Sejak siangnya, mereka yang prihatin dengan isu pemanasan global sibuk mengingatkan antara satu sama lain, "Malam ini jam 8.30-9.30 jangan lupa tutup lampu," sama ada melalui pesanan mulut ke mulut, sistem pesanan ringkas atau e-mel. Media massa tidak lupa mengingatkan orang ramai perkara yang sama.

aSaya menjangkakan dalam tempoh sejam tersebut, seluruh negara akan bergelap. Yang kelihatan mungkin hanya cahaya lampu kenderaan di bandar dan pekan, yang di kawasan pedalaman menggunakan lampu suluh atau mendamba cahaya rembulan, yang sedang makan malam di rumah menyalakan lilin ala 'candle light dinner', yang sedang menonton berita di televisyen beralih mendengar radio transistor yang dihidupkan oleh bateri cap kucing, manakala yang tidak tahu nak buat apa-apa cuma perlu baring dan merapatkan kelopak mata.

Tepat detik 8.30 malam apabila suis utama dimatikan, keadaan bagaikan hening sebentar. Mungkinkah 1Malaysia sudah bergelap?

Menguak sedikit daun pintu dan memerhati kawasan sekitar di luar... eh, terang! Melangkah keluar dan memerhati kawasan perjiranan terdekat, sahlah cuma 1Rumah yang sudah bergelap, "Rumah aku!" Menghidupkan enjin kereta dan memandu dari jalan ke jalan, bertambah sah lagi, malam ini tiada bezanya dengan malam-malam lain, terang- benderang!

Di seluruh dunia, khabarnya lebih 120 negara melibatkan 4000 bandar mengambil bahagian. Antara bangunan popular dan mercu tanda yang bergelap detik 8.30 malam waktu tempatan masing-masing itu termasuklah Sydney Opera House (Australia), Stadium Sarang Burung (China), Menara Pisa (Itali), Istana Buckingham (England) dan Menara Eiffel (Perancis - walaupun sekadar lima minit). Sebenarnya ia jauh daripada mengubah apa-apa kepada bumi, bak kata pengasas 'Earth Hour', Andy Ridley, yang mengaku bahawa ia sekadar tindakan simbolik, "Ia hanyalah sejam, sehari, setahun. Kita tidak menyelamatkan bumi dengan memadamkan lampu untuk tempoh sesingkat itu. Apa yang anda lakukan adalah menambah suara anda kepada desakan sedunia untuk menyelamatkan planet ini."

Di Malaysia, meskipun ada tempat-tempat yang berjaya digelapkan seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Istana Budaya di Kuala Lumpur, juga khabarnya di beberapa institut pengajian tinggi, namun bolehlah disimpulkan bahawa rakyat Malaysia masih tidak kisah dengan sebahagian perkembangan yang berlaku di dunia. Lebih malang lagi, apabila detik yang sama dianjurkan pada tahun lepas, segelintir anak muda Malaysia berjaya menunjukan keprihatinan yang sangat luar biasa apabila menunggu saat gelap KLCC untuk memulakan pergaduhan. Aduh, kenapalah anak-anak kita selalu menjadi juara dalam kebobrokan seumpama ini... sudahlah kita juara 'rempit', juara dadah, juara dedah, juara samseng jalanan, nanti entah apa-apa lagi yang juara. Kita mohon perlindungan daripada Allah.

Mengeluh macam mana pun tiada gunanya kerana dunia ini rosak disebabkan tangan-tangan manusia sendiri. Apabila kita tidak mengambil jalan hidup yang sepatutnya, tidak mengikut manual yang dibekalkan Tuhan, tidak melazimkan manusia dengan ilmu, nasihat dan amaran serta tidak mengawal mereka dengan undang-undang seperti yang ditunjukkan oleh Nabi, maka bersedialah untuk menerima akibat yang pedih. Bumi yang panas disebabkan kepesatan perkembangan teknologi masih boleh diterima oleh kebanyakan orang. Ia adalah peraturan alam mengikut hukum sebab dan akibat. Teknlogi terbukti membantu manusia dalam banyak perkara, tetapi penggunaan teknologi yang melampau akan mewujudkan kesan yang tidak baik kepada bumi. Langkah mengawal pencemaran lapisan ozon seperti larian 'Earth Hour' ini adalah langkah yang patut disokong - sekurang-kurangnya bil elektrik rumah dan pejabat kita selama sejam dapat dijimatkan - walaupun pasti ada banyak tempat yang tidak dapat menyertainya kerana sudah ada program penting yang terpaksa diteruskan.

Namun, melangkaui isu pemanasan global tersebut, kepanasan bumi akibat perbuatan tidak baik manusia yang melanggar perintah Allah lebih patut diberikan perhatian. Akibatnya bahkan lebih dahsyat. Mengapa hari-hari yang kita lintasi setiap hari penuh dengan perkara-perkara yang menyukarkan, menakutkan serta menyakitkan mata dan hati? Gejala sosial, pembunuhan, pergaduhan politik, perebutan harta dan dengki khianat semakin menjadi-jadi. Gejala sosial sahaja kalau dihuraikan sudah tidak tergalas - pergaulan bebas, pakaian menyolok mata, perzinaan, pembuangan bayi, anak luar nikah, kes-kes meminum arak, penagihan dan pengedaran dadah dan banyak lagi.

Bukankah semua perkara ini membakar jiwa kita hingga menggelegak? Apa lagi yang mampu kita lakukan sekiranya kerosakan yang berlaku di depan mata tidak kita tangani lantas mengundang murka Tuhan? Tidakkah ia satu kepanasan yang maksimum? Bagaimana pula halnya dengan api neraka? Tidakkah ia kepanasan yang tiada bandingannya dengan apa-apa kepanasan pun di dunia ini?

Supaya kita tidak perlu memaksakan diri hidup dalam kegelapan lagi, dan supaya hari-hari yang bakal tiba terus terang-benderang, marilah kita membuat satu perkara sahaja - kembali kepada syariat Tuhan Pencipta bumi dan alam...

Tiada ulasan: